Wednesday, July 13, 2011

Peludah Warna

Peludah Warna
Kuasa gusar kini menggelegak murka;
warna
kuning diisytihar racun terbisa. 
Diragutnya baju-T segeram tenaga 
dan diumum itulah busana bahaya.
Tapi, kita jahit semula perca kain,
menjadikannya panji terindah dan tulen.
Warna
kuning yang teramat tenang dan syahdu 
kita kembalikan damai ke dalam qalbu.
Kini cahaya mentari mungkin diramas
dan sinar
kuningnya juga mungkin dicantas. 
Memanglah mereka kini peludah warna 
sedang menghimpun lendir kahak sebanyaknya.
Kerana nikmat amat lama berkuasa,
kuasa pun seolah menjadi hartanya.
1. 7. 11. A. SAMAD SAID

No comments:

Post a Comment